Friday, September 21, 2018

Aku di Johor Bahru (JB)!!!

Selepas kira-kira 2 tahun 5 bulan (Sept 2013 - Mac 2016) aku berkhidmat di Betong, Sarawak, akhirnya aku berpindah ke Johor Bahru selepas permohonan aku untuk bertukar diluluskan.

Johor Bahru, tengok nama pun dah tahu mestilah letaknya di negeri Johor. Aku tak pernah terfikir nak masuk Johor. Dah kenapa aku mohon masuk PPD Johor Bahru? Isteri aku la punya cadangan. Kenapa isteri aku pilih JB? Pertama kerana faktor kakak sulong (kakak ipar aku) juga bertugas di Johor di daerah Kota Tinggi. Jadi fikirnya mungkin senang la sikit sebab ada saudara di Johor. Kedua mungkin (mungkinnn!!) sebab JB ni bandar jadi ingat duduk bandar seronok la kot ada banyak mall, pusat hiburan dan kepadatan penduduk yang tinggi. Ketiga sebab waktu tu kekosongan guru di JB lebih kurang 500 lebih. Maka kebarangkalian untuk berjaya pindah tu sangat tinggi dan hampir pasti.

Aku mula-mula isi eg-tukar bukan tekad nak pindah pun, tapi disebabkan fikir keadaan isteri di kampung maka aku pun isi. Isteri aku pulak memang tak sabar nak tinggal bersama apatah lagi sebab tak tahan orang sekeliling membebel tanya kenapa tak duduk sekali dengan suami. Lepas tu risau aku main mata dengan anak dara dan cikgi-cikgi bujang lain. Baik, itu antara beberapa faktor kenapa aku isi eg-tukar. Ada banyak lagi sebenarnya tapi secara ringkasnya aku isi untuk menyenang dan menggembirarakan hati orang lain. Aku tak fikir sangat pasal diri sendiri kerana aku fikir apa sahaja yang jadi selepas daripada itu sama ada baik buruk aku mampu hadapinya dan bersikap positif bahawa aku akan belajar sesuatu daripada pengalaman-pengalaman yang bakal aku lalui. Sebagaimana positifnya aku semasa mula-mula tahu dihantar ke Sarawak, begitu juga positifnya aku semasa memohon pindah ke JB.

Dipendekkan cerita, pada bulan Mac 2016, sampailah aku ke Johor Bahru dan secara rasminya memulakan tugas sebagai guru baharu di Sekolah Kebangsaan Taman Damansara Aliff...

Bersambung...

Friday, November 8, 2013

Aku Disini!

Hari ini (8.11.2013), genap 53 hari aku di Negeri Sarawak Bumi Kenyalang, tepatnya di kampung Maludam yang terletak di dalam daerah Betong. Apa aku buat di sini? Aku ditugaskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai guru j-QAF di salah sebuah sekolah jenis kebangsaan (Cina) yang terletak di dalam daerah Betong iaitu SJK (C) Chung Hua Meludam.

Aku difahamkan bahawa aku adalah guru j-QAF kedua yang berada di sekolah ini setelah seorang guru praktikal j-QAF pada tahun lepas iaitu Ustazah Liyana dan kini dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa ustazah tersebut selepas tamat praktikal sekarang ditempatkan di sebuah sekolah di Bandar Kuching, Sarawak.

Apa aku rasa semasa mula-mula berkhidmat di sekolah ini? Aku rasa gembira kerana mendapat peluang untuk merasai sendiri pengalaman berkhidmat dan bertugas di dalam suasana yang luar daripada kebiasaan hidup aku selama ini iaitu bekerja bersama-sama cikgu berbangsa Cina dan menghadap murid-murid yang berbangsa Iban, Melayu serta Cina. Itu satu, kedua aku rasa penat, penat bukan sebab banyak kerja, penat sebab akal dan minda aku habis aku kerah untuk belajar Bahasa Melayu Sarawak (BMS) dan menterjemah bahasa tersebut ke Bahasa Melayu Standard apabila berkomunikasi dengan rakan-rakan setugas di sekolah. Walaupun begitu tidak bermakna aku merungut dengan keadaan ini kerana di akhirnya aku tetap mendapat kegembiraan serta kepuasan apabila mampu menguasai sedikit Bahasa Melayu Sarawak dan boleh berkomunikasi dengan masyarakat dan kanak-kanak di kampungku ini dengan bahasa pertuturan harian mereka sendiri. Selain daripada penat belajar bahasa baru, penat aku juga disebabkan aku perlu biasakan diri dengan kawasan baru, budaya baru, cari rumah sewa, beli barang rumah seperti tilam, bantal dan sebagainya. 2 minggu pertama di sini memang buat aku penat dalam masa sama berasa puas dengan ilmu yang aku dapat.

Aku sampai di sekolah bersama-sama guru besar Encik Lai Ngit Sin yang mengambilku dari PPD Betong yang mana jaraknya kira-kira 70km dan mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah dan merentasi sebuah sungai dengan sebuah feri di Pusa. Sesampainya aku di sekolah pada jam 9 malam, aku bertemu dengan Ustaz Hafizul Rasdi (Guru GPI) yang telah berkhidmat di sekolah tersebut selama 3 tahun iaitu sejak 2011, dan seorang Pembantu Tadbir iaitu Encik Abu bin Adam.

Bersambung.....