Hari ini (8.11.2013), genap 53 hari aku di Negeri Sarawak Bumi Kenyalang, tepatnya di kampung Maludam yang terletak di dalam daerah Betong. Apa aku buat di sini? Aku ditugaskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai guru j-QAF di salah sebuah sekolah jenis kebangsaan (Cina) yang terletak di dalam daerah Betong iaitu SJK (C) Chung Hua Meludam.
Aku difahamkan bahawa aku adalah guru j-QAF kedua yang berada di sekolah ini setelah seorang guru praktikal j-QAF pada tahun lepas iaitu Ustazah Liyana dan kini dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa ustazah tersebut selepas tamat praktikal sekarang ditempatkan di sebuah sekolah di Bandar Kuching, Sarawak.
Apa aku rasa semasa mula-mula berkhidmat di sekolah ini? Aku rasa gembira kerana mendapat peluang untuk merasai sendiri pengalaman berkhidmat dan bertugas di dalam suasana yang luar daripada kebiasaan hidup aku selama ini iaitu bekerja bersama-sama cikgu berbangsa Cina dan menghadap murid-murid yang berbangsa Iban, Melayu serta Cina. Itu satu, kedua aku rasa penat, penat bukan sebab banyak kerja, penat sebab akal dan minda aku habis aku kerah untuk belajar Bahasa Melayu Sarawak (BMS) dan menterjemah bahasa tersebut ke Bahasa Melayu Standard apabila berkomunikasi dengan rakan-rakan setugas di sekolah. Walaupun begitu tidak bermakna aku merungut dengan keadaan ini kerana di akhirnya aku tetap mendapat kegembiraan serta kepuasan apabila mampu menguasai sedikit Bahasa Melayu Sarawak dan boleh berkomunikasi dengan masyarakat dan kanak-kanak di kampungku ini dengan bahasa pertuturan harian mereka sendiri. Selain daripada penat belajar bahasa baru, penat aku juga disebabkan aku perlu biasakan diri dengan kawasan baru, budaya baru, cari rumah sewa, beli barang rumah seperti tilam, bantal dan sebagainya. 2 minggu pertama di sini memang buat aku penat dalam masa sama berasa puas dengan ilmu yang aku dapat.
Aku sampai di sekolah bersama-sama guru besar Encik Lai Ngit Sin yang mengambilku dari PPD Betong yang mana jaraknya kira-kira 70km dan mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah dan merentasi sebuah sungai dengan sebuah feri di Pusa. Sesampainya aku di sekolah pada jam 9 malam, aku bertemu dengan Ustaz Hafizul Rasdi (Guru GPI) yang telah berkhidmat di sekolah tersebut selama 3 tahun iaitu sejak 2011, dan seorang Pembantu Tadbir iaitu Encik Abu bin Adam.
Bersambung.....